Dayana masih mengemas-ngemas ruang biliknya. Akhirnya
semester baru telah bermula maka bermulalah episod baru pengajiannya. Dia
berharap prestasinya pada kali ini akan bertambah baik berbanding semester
lepas.
Ganbatte!
Seperti
kebiasaan, di awal-awal semester semangatnya akan berkobar-kobar dan selalunya
semangat itu tidak akan kekal sepanjang semester. Dia harap semester kali ini
akan menjadi luar biasa. Setelah pasti biliknya telah sempurna dikemaskan,
Dayana berbaring lega sambil matanya memandang ke arah katil bakal rakan
sebiliknya yang masih kosong. Siapalah agaknya bakal rakan sebiliknya, baikkah
orangnya, cerewetkah, menyakitkan hatikah? Biar siapa pun orangnya, dia tetap
berasa teruja.
Berbeza
dengan sahabat yang lain, Dayana tidak kalut untuk memilih rakan serumah
mahupun sebilik. Ramai sahabatnya merayu untuk ditempatkan sekali dengan
sahabat-sahabat yang mereka kenali sahaja. Sedangkan bagi Dayana, dia lebih
senang berkenalan dengan rakan serumah yang baru. Lebih menyeronokkan.
Tiba-tiba
pintu bilik dikuak perlahan. Dayana agak terperanjat.
“Assalamualaikum…”
lembut suara memberi salam. Muncul seorang gadis bertudung labuh persis seorang
ustazah.
“Waalaikumussalam…”
jawab Dayana dengan senyuman lebar. Wah, muslimah.
Dayana
berasa teruja. Inilah kali pertama dia dapat sebilik dengan seorang muslimah
seperti ini. Dayana tidak henti-henti memerhatikan gadis itu berkemas.
“Anta
dah lama sampai?” ujar gadis itu memulakan bicara agaknya kurang senang dengan
pandangan Dayana yang tidak henti-henti memerhatikannya.
“Tak
ada lah lama, baru jugak. Orang mana?” soalnya lancar. Dia meneka mungkin gadis
itu merupakan orang Terengganu mahupun Kelantan. Kebanyakan gadis berimej
muslimah yang dia kenali kebanyakannya datang dari dua buah negeri berkenaan.
“Orang
Johor…”
Dayana
menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Jelas sekali telahannya tidak tepat.
Gadis itu masih tersenyum lembut melihatkan telatah Dayana yang tidak senang
duduk.
“Anta
orang mana?” soal gadis itu pula.
“Saya
orang sini jugak, orang Perak. Satu daerah je dengan U kita ni,” jawab Dayana
panjang lebar walaupun jawapan yang sepatutnya tidak perlu dijawab selengkap
itu.
“Rumah
anta dekat jelah. Baguslah, senang nak balik kan?” ujar gadis itu semula yang
semakin menunjukkan keramahan berbeza dengan sikapnya seawal perkenalan tadi.
“Tau
tak apa. Kita ni bercakap punya bercakap nama tak tau pun, siapa nama kamu?
Umur?” soal Dayana apabila menyedari dia masih tidak tahu nama dan umur sahabat
barunya.
“Maizatul
Akma, 24 tahun. Anta?” soalnya kembali.
“Nordayana,
22 tahun. Panggil je Yana. Nak panggil apa ya?”
“Oh,
muda lagi. Panggil je kak Akma,” ujarnya. Dayana tersenyum riang. Sikap sahabat
barunya ternyata sangat menyenangkannya.
“Okay, kak Akma.”
Kemudian
Dayana hanya mendiamkan diri memerhatikan gelagat Akma yang sedang mengemas
barang. Dia ingin membantu tetapi dihalang sekeras-kerasnya. Akhirnya dia
beralah.
Dayana memeriksa beg tangannya mencari-cari telefonnya
tetapi hampa. Ke mana perginya? Mungkin ke tercicir? Dayana sudah tidak sedap
hati.
“Cari
apa?” soal Shahila, bekas roommate
Dayana semasa di semester pertama. Dia rimas dengan perlakuan Dayana yang
kelihatan kalut mencari-cari sesuatu dalam beg tangannya.
“Phone Yana. Tak jumpa pulak. Tolong missed call kejap,” minta Dayana separuh
merayu. Hatinya mula berdegup kencang. Shahila lantas mengeluarkan telefonnya
lalu mendail nombor Dayana. Beberapa minit telah berlalu tidak kedengaran
sebarang deringan pun.
“Kamu
tinggal kat rumah ni Yana. Kamu kan suka tertinggal phone kat rumah,” ujar Shahila yang sudah faham benar dengan sikap
Dayana yang agak cuai menjaga barangnya. Dayana bermenung seketika memikirkan
rasional kata-kata Shahila sambil cuba mengingatkan di mana kali terakhir dia
menggunakan telefonnya.
Dayana
menepuk dahinya. Ya, memang dia tertinggalkan telefonnya di rumah.
“Ha?
Kenapa? Betulkan tertinggal kat rumah?” soal Shahila bertalu-talu. Dia pun
ingin tahu andai telahannya betul. Dayana mengangguk tanpa kata segan dengan
kelalaiannya sendiri. Shahila menggelengkan kepala.
Berakhir
sahaja kuliah yang terakhir, Dayana terus bergegas pulang ke rumah. Dia tidak
dapat menafikan hatinya masih berasa tidak sedap selagi tidak dapat melihat telefonnya
dengan mata kepalanya sendiri. Sesampai sahaja di rumah, Dayana pantas membuka
lacinya. Huh! Lega!
Telefon
bimbitnya masih berada di situ. Dayana
lantas menilik skrin telefonnya andai terdapat sebarang mesej mahupun panggilan
tidak dijawab. Niatnya untuk membaca mesej dan melihat gerangan yang
menelefonnya terbatal serta-merta apabila matanya tertancap pada aplikasi jam
di skrin telefonnya. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang sedangkan dia
masih belum menunaikan solat Asar. Dia kemudiannya bergegas ke bilik air untuk
mengambil air wuduk. Dia tidak mahu melengahkan lagi memandangkan masa sudah
semakin suntuk. Jika dia melengahkan solatnya, alamatnya terlepas waktulah
jawabnya. Selesai sahaja solat, Dayana terus mendapatkan telefon bimbitnya.
Semua mesej dan panggilan masuk datang daripada nombor yang sama. Nombor yang
tiada dalam senarai kenalannya tetapi cukup dikenalinya. Suatu masa dahulu,
nombor itu telah dipadamkan dari senarai kenalannya dan berharap nombor itu
tidak kekal dalam ingatannya tetapi sayang fikirannya tidak mengikut kata
hatinya. Nombor itu tetap terpahat dalam ingatannya seperti mana ingatannya
terhadap empunya nombor tersebut.
Dengan
tangan yang terketar-ketar Dayana membuka mesej pertama yang diterima.
Yana, Iz ada dekat tempat Yana ni, Iz nak jumpa Yana. Kejap pun
jadilah. Kebetulan Iz keluar beli tiket hari ni. Esok Iz dah nak bertolak ke
KL. Iz kerja kat sana.
Dayana
menekup mulut. Hatinya pun cukup meronta-ronta untuk bertemu dengan Izzat. Namun,
hatinya juga dibelenggu oleh pelbagai persoalan. Apa mimpi Izzat untuk berjumpa
dengannya? Rindu ke? Atau hanya ingin melampiaskan nafsunya? Dayana memejamkan
mata rapat. Dia tidak dapat membuang prasangka negatifnya terhadap Izzat. Dia langsung
tidak dapat meneka isi hati sebenar lelaki itu.
Dayana
terus beralih pada mesej yang kedua.
Yana? Kenapa Yana tak jawab?
Dan
akhirnya dia membuka mesej yang terakhir.
Yana? Hm…..
Mesej
yang terakhir jelas menggambarkan kekecewaan Izzat sama seperti hatinya yang
turut kecewa. Kenapa baru hari ini dia mendapat mesej Izzat? Kenapa mesti pada waktu
dia tertinggalkan telefonnya? Dayana menyembamkan wajahnya di bantal. Sebal.
Setelah
perasaannya sedikit tenang. Dia bangun semula. Tidak patut sebenarnya dia
bersikap begitu. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Dayana beristighfar.
Dia memeriksa telefonnya sekali lagi. Terdapat 15 panggilan tidak dijawab
daripada Izzat. Argh, rindunya.
Dayana
merenung skrin telefonnya lama. Hatinya berbelah bahagi untuk menelefon Izzat
semula. Nombor Izzat ditekan dan ibu jarinya sudah bersedia di butang dail.
Mampukah dia merendahkan egonya untuk menghubungi Izzat? Hatinya masih berbelah
bahagi.
Akhirnya
nombor Izzat didail. Bukan dia yang memulakan dulu, Izzat yang mencarinya
terlebih dahulu. Dayana menunggu panggilannya diangkat dengan penuh debar.
Izzat
memandang skrin telefon bimbitnya. Panggilan daripada Dayana. Dadanya berombak
kencang. Lama dia merenung skrin telefon bimbitnya. Akhirnya, panggilan itu diangkat.
“Hello.”
Kedengaran garau suara di hujung talian. Dayana berasa gembira tatkala
mendengarkan suara Izzat yang sudah lama tidak didengarnya sambil menahan
debaran yang semakin menggila.
“Kenapa
carik Yana?” dia dapat merasakan suaranya sendiri kedengaran janggal. Tangan
kirinya melekap ke dada. Degupan jantungnya semakin tidak dapat dikawal.
Izzat
kecewa mendengarkan suara Dayana yang langsung tidak ceria. Adakah Dayana masih
terasa hati? Bukankah gadis itu sudah ada pengganti?
“Iz
saja contact Yana. Kot Yana nak jumpa
Iz. Tapi kalau tak boleh tak apalah,” tutur Izzat sebiasa yang mungkin. Dia
perlu menutup perasaan terujanya sebelum ini untuk berjumpa dengan Dayana.
Sebenarnya dia sangat merindukan gadis itu, rindu yang tidak dapat ditafsirkan
dengan kata-kata.
Dayana
kecewa mendengarkan nada Izzat yang acuh tidak acuh sahaja. Nampaknya hanya dia
sahaja begitu teruja untuk berjumpa dengan Izzat sedangkan lelaki itu
biasa-biasa sahaja.
“Oh,
tak apalah. Yana pun tak kisah. Just tanya
kot ada perkara yang penting. Kalau tak ada perkara yang penting. Tak jumpa pun
tak apa. Yana kat sini sibuk……” ujar Dayana cuba mempertahankan egonya. Tidak
sangka dia tertipu sekali lagi dengan Izzat. Sekali lagi lelaki itu cuba
mempermainkan perasaannya. Dia menyangka lelaki itu merindukannya tetapi sayang
lelaki itu hanya ingin membuai perasaannya tanpa tujuan. Air matanya sudah
menanti di tubir mata.
“Yana
sibuk? Hm..Iz faham. Sorry kalau Iz
ganggu Yana. Hm…” Izzat kelu. Hatinya hiba mendengarkan suara gadis itu yang
tersangat dingin. Sedihnya tidak terkata. Dia merindukan Dayana yang riang
melayannya. Kalau tidak kerana ego lelakinya, dia ingin merayu pada Dayana
untuk berubah menjadi seperti dulu. Tetapi layakkah dia, bukankah dia yang
menyebabkan gadis itu bersikap seperti itu.
“Okay, kalau tak ada apa-apa, Yana letak
dululah. Assalamualaikum,” ucap Dayana sebak. Lidahnya kelu. Tidak tahu apa
yang perlu diucapkan lagi, yang pasti hatinya diselubungi kekecewaan.
“Waalaikumussalam….”
Izzat termangu. Talian dimatikan serta-merta sebaik sahaja dia membalas salam. Itu
sahajakah perbualan mereka? Benci sangatkah Dayana terhadap dirinya sehingga
tidak sudi untuk berbual lebih lama.
Dayana
berbaring sambil mengesat air matanya. Begitu mudah air matanya gugur untuk
lelaki tak guna seperti Izzat.
‘Iz…sampai bila Iz nak permainkan
perasaan Yana, sejauh mana lagi Iz nak uji Yana,’ desis hatinya yang pilu.
Dayana juga sudah naik bosan dengan kedegilan hatinya yang begitu tega
mengekalkan ruang untuk Izzat. Sampai bila dia harus mengenang lelaki itu.
Sampai bila?
Bab sebelum ini:
assalam,
ReplyDeleteselamat pagi isnin..
;)
ReplyDelete