Tuesday 15 October 2013

BAB 4 - RAHASIA CINTA

Izzat mengelipkan matanya beberapa kali. Benarkah apa yang dia lihat? Entri yang bertajuk Mr. An diikuti dengan lambang berbentuk hati dibaca berulang kali. Hatinya ditambat rasa cemburu. Entri yang ringkas dan pendek itu cukup padat menyampaikan isi hati si blogger.


Hello, Miss Diya kembali dengan entri baru untuk hari ini, ada yang rindukan Miss Diya tak?
Hehehe…
Yup! Miss Diya happy sangat hari ni, Miss Diya tengah angau ni, opsss…bukan lagi untuk Mr.I macam yang Miss Diya cerita sebelum ni tapi untuk Mr.An, macam title entri kat atas…
Siapa Mr.An? dia stalker kehormat blog Miss Diya….blog je ke?
Ehem3~~~
Siapa dapat teka, Mis Diya bagi gula-gula…
Entri akan datang, Miss Diya akan bongkarkan siapa dia Mr. An..
C U SOON !


                Siapa dia? Izzat tertanya-tanya. Perasaan ingin tahunya membuak-buak. Dia mula membaca komen yang ditinggalkan oleh pelawat-pelawat blog tersebut.


Mesti insan teristimewa ni…tak sabar nak tau jawapan, mesti betul…


                Pandai-pandai je kau teka, dengus hatinya.


Wah..Cik Diya kita tengah jatuh cinta….tak sabar nak makan nasik minyak, jangan lupa jemput Bell yerr..


                Izzat terus membaca komen seterusnya.


Ala…nak teka-teka lak, Miss A tak pandai nak teka tapi rasanya jawapan Miss A sama dengan tukang komen yang pertama tu. Mesti insan teristimewa, Miss A doakan kebahagiaan Diya J


                Izzat akhirnya menghentikan pembacaannya. Komen-komen seterusnya hanya akan menambahkan sakit di hatinya. Siapa lelaki yang dimaksudkan? Bagaimana rupanya? Baik ke?
                Argh ! Izzat sendiri serabut dengan soalan yang bertubi-tubi menerjah ke dalam kotak fikirannya. Dengan siapa gadis itu ingin bersama bukan halnya. Dia sendiri bahagia dengan Azura. Tiada kekurangan dalam diri Azura jika dibandingkan dengan Dayana.
                Walau bagaimanapun, perbuatannya langsung tidak mengikut kata hatinya. Setiap hari dia menanti entri terbaru gadis itu. Dia terlalu ingin tahu gerangan lelaki yang berjaya mencuri hati Dayana. Akhirnya hari yang dinanti kunjung tiba.


Siapa Mr.An?


                Izzat menahan debar. Matanya beralih pada isi entri.


Haloo..
Dah ada ke yang ternanti-nanti entri ni?? Ada ke?? Seperti yang Miss Diya janjikan, Miss Diya nak bongkarkan siapa dia Mr.An…
Hehehehe….
Tahniah, siapa yang teka dengan betul… Miss Diya tengok ramai yang teka tu teman istimewa Miss Diya, yup ! tak salah lagi tekaan korang..
Tapi..ops3..
Kitorang tak kapel tau, serious…tapi dia dah sampaikan niat nak petik Miss Diya menjadi teman hidupnya..
Alahai..jiwangnya ayat Miss Diya kan?
Miss Diya bersyukur kerana tuhan jumpakan Miss Diya dengan lelaki yang terima Miss Diya seadanya, dia dah tau semua kisah hidup Miss Diya..
Apa yang Miss Diya kagum, dia sangat menjaga batas perhubungan ni…
Dah3!!! Miss Diya taknak cerita panjang2… nanti tak ada siapa nak baca pulak…
Tata J


                Izzat meraup mukanya. Dia tidak tahu perasaannya kini. Adakah dia patut berasa gembira atau tidak atas kebahagiaan Dayana. Gadis itu miliknya. Jauh di sudut hati dia tidak rela Dayana berada dipangkuan lelaki lain. Apa yang perlu dia lakukan? Dia inginkan gadis itu tetapi di sudut lain hatinya dia berasa janggal dengan kekurangan Dayana.
                Hatinya menjerit. Perkara ini semakin rumit bukan disebabkan salah sesiapa tetapi salahnya sendiri yang masih keliru dengan cintanya. Malas melayan fikirannya yang bercelaru, tangannya pantas memasang radio bagi menenangkan hatinya. Kedengaran suara Aznil yang sungguh ceria berceloteh. Sesekali Izzat tersenyum nipis apabila celoteh Aznil mencuit hatinya sambil sabar menunggu dendangan lagu yang seterusnya.
                Dendangan lagu Sudirman yang telah diadaptasi berkumandang. Izzat menghayati setiap bait-bait lirik lagu Merisik Khabar yang telah dinyanyikan semula oleh pelakon utama filem Hoore! Hoore! Itu.

Terkapar-kapar ku kelemasan,
Sakit dilambung ombak kerinduan,

Di dalam tidur di dalam jaga,
Diburu oleh mimpi yang serupa,

Mengapa aku jadi tidak menentu keranamu,

Ku menyusuri jalan berliku,
Membiarkan hari-hari berlalu,

Tiada salam tiada pesan,
Memaksa diri untuk melupakan,

Namun wajahmu bermain di mataku tiap waktu,

Malam ku suram,
Siang ku kelam,
Ku kegelisahan,
Mencari-cari ke mana pergi harga diri ini,

Bertanyakan berita,
Merisik khabar,
mendengar cerita melaluinya,
Kau kuhampiri tiap hari bersama luka dihati

                Izzat tenggelam dalam lamunan. Betapa lagu ini amat kena dengan kisah hidupnya. Dia turut bernyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak lagu. Andainya Dayana di hadapannya sekarang.




Dayana menghempaskan dirinya di atas katil. Lagu Merisik Khabar yang sedang berkumandang di radio di dengar dengan hati yang sayu. Setiap baris liriknya sangat kena dengan perasaannya kini. Apatah lagi, suara Akim AF memang persis suara Izzat. Serak-serak basah dan romantis.
 Dia memejamkan mata. Wajah Izzat menjelma. Hatinya sebak tiba-tiba. Entah apa khabar Izzat sekarang. Langsung tiada khabar berita. Izzat benar-benar mengotakan janjinya untuk menghilangkan diri dari pandangannya. Namun, dia tidak boleh menyalahkan Izzat semata-mata. Apa yang Izzat lakukan pun atas permintaannya. Dia sendiri yang tidak mahu lagi meneruskan permainan tarik tali ini. Cukup menyakitkan. Cukup melukakan.
Dayana cuba mengalihkan fikirannya terhadap Anas. Apa yang lelaki itu sedang lakukan? Baikkah dia? Dayana merenung skrin telefon bimbitnya. Berkira-kira untuk menghubungi lelaki itu atau tidak. Dia perlu mendengar suara lelaki itu memandangkan hatinya semakin rapuh. Dia memerlukan semangat daripada lelaki itu.
Tanpa berfikir lebih panjang, Dayana mendail nombor Anas tetapi sayang panggilannya tidak bersambut. Dayana mengeluh. Kenapa lelaki itu tidak ada di saat dia memerlukan. Ini lagi satu masalahnya, dia dengan lelaki itu telah menetapkan janji untuk tidak kerap menghubungi antara satu sama lain.
Dirinya tidak henti-henti dibelenggu dengan janji. Sebelum ini dengan Izzat dan sekarang dengan Anas pula. Biarlah, mungkin ada hikmahnya. Dia tahu, kadang-kadang Anas bukan tidak mendengar panggilannya. Lelaki itu sengaja tidak mengendahkan panggilannya. Jangan salahkannya jika dia tinggalkan Anas suatu hari nanti! Tiba-tiba hatinya diserang rasa geram. Tolonglah ada untuk saat-saat seperti ini.
Tiba-tiba telefonnya berdering. Dayana pantas mengangkat tanpa sempat melihat nama si pemanggil. Hatinya meneka Anas menelefonnya kembali.
“Assalamualaikum…” Sapanya ceria.
“Waalaikumussalam Yana,” berubah air muka Dayana. Suara yang didengarnya bukan milik Anas. Skrin telefon diamatinya. Malangnya, itu nombor yang tiada di dalam senarai kenalannya.
“Siapa ni?” suaranya tidak lagi seceria tadi. Secara jujurnya, suara lelaki itu seperti biasa didengar.
“Wah, Yana, kau tak ingat ke aku siapa? Bukan main kau sekarang, lepas masuk U, tak ingat dah kat aku….”
Wajah Dayana berkerut. Berterus-terang sajalah. Dia tiada mood untuk bergurau sekarang ini. Dayana mendiamkan diri.
Faizal kaget apabila tidak mendapat sebarang balasan dari Dayana. Takkan bergurau sikit pun tak boleh, desis hatinya.
“Hey Yana, aku Ajai la, takkan tak ingat?”
Akhirnya, Faizal memperkenalkan dirinya takut gurauannya tadi menyinggung perasaan gadis itu.
“Eh, Ajai….. Mana ada aku lupa kat kau. Sorry la, nombor aku ni pernah hilang. So, aku buat nombor ni balik, kebanyakan nombor contact hilang termasuklah kau.
 Kau sendiri pun dah lama tak contact aku, jangan nak salahkan aku pulak,” ujar Dayana membela dirinya. Kedengaran tawa Faizal di hujung talian.



“Kau dengan Mira apa cerita?” Soal Dayana ingin tahu perkembangan hubungan sahabatnya itu dengan kekasihnya. Amira merupakan rakan sekelasnya sewaktu di tingkatan enam. Seorang yang peramah dan baik. Dayana terbayangkan wajah mulus Amira yang tidak gemar memakai sebarang mekap mahupun secalit bedak pun.
“Semakin bahagia dan saling cinta mencintai,” jawab Faizal tanpa berlapik. Dayana serasa ingin muntah mendengarkan jawapan Faizal. Faizal menyambung tawanya.
Dalam diam, Dayana mengagumi Faizal yang berjaya membentuk perasaannya buat Amira. Sedangkan diawal perhubungannya dengan Amira tidak wujud sebarang perasaan untuk gadis itu. Faizal sebenarnya menaruh perasaannya pada Dayana.
“Kau apsal guna ayat jiwang ni? Nak muntah aku dengar…” perli Dayana.
“Dulu aku nak kat kau, kau taknak, sekarang nak muntah-muntah pulak….”
Dayana tergamam mendengarkan kata-kata Faizal. Hatinya sedikit terusik. Alasan dia menolak Faizal kerana perasaannya terhadap Izzat. Dia tidak tergamak memilih sahabat Izzat menjadi pasangannya. Dia tidak mahu melukakan hati lelaki itu.
“Aku tak hairan langsung lah. Kau dah bahagia ni, aku tumpang gembira.”
Hati Dayana bergetar. Faizal benar-benar mengingatkannya pada Izzat.
“Kau dengan Izzat okay?”
“Aku tak contact dia dah…..” potong Dayana pantas. Suaranya bergetar.
Faizal berkerut. Dia dapat mengesan perubahan pada nada suara Dayana. Bukan dia tidak tahu perkara sebenar, Izzat pernah bercerita tentang hubungannya dengan Dayana yang terumbang-ambing. Dia sengaja ingin tahu dari mulut gadis itu.
Dia sendiri tidak faham dengan hubungan yang sedang terjalin antara Izzat dengan Dayana. Apa yang dia tahu, Izzat juga mempunyai perasaan terhadap Dayana. Begitu juga Dayana. Tiada halangan untuk mereka meneruskan hubungan itu dari seorang sahabat kepada kekasih.
Faizal tahu baik Dayana mahupun Izzat, masing-masing ingin membuktikan persahabatan antara mereka tidak akan berakhir dengan percintaan. Ego setinggi gunung.
“Ha.. Yalah, tu je aku nak tanya, saja rindu nak dengar suara kau…” Faizal cuba mengembalikan mood Dayana.
“Suka-suka kau je nak rindu kat aku, aku report kat Mira baru tau,” balas Dayana disusuli dengan tawa. Faizal lega mendengarkan tawa Dayana.
Okaylah, aku nak letak dah ni, lama-lama aku call kau pun, bukan dapat kasih sayang kau pun, buat habis kredit je ni,” gurau Faizal ingin mengakhiri perbualan mereka.
“Eee.. Kau ni! Yalah, kasih sayang la sangat. Aku tak kisah pun kau nak kata apa, aku tau kau sayang kat aku, thank call aku tau.”
Dayana langsung tidak ambil hati dengan kata-kata Faizal. Kalau diikutkan, dia ingin berbual lama lagi dengan Faizal. Sekurang-kurangnya gurauan Faizal mengubat hatinya yang sedang sakit.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Talian dimatikan. Sepanjang perbualannya dengan Faizal tadi, dia berkira-kira untuk menanyakan perihal Izzat tetapi keinginannya sekadar tersimpan di sudut hatinya. Tidak perlu rasanya dia terlalu menyibuk untuk tahu tentang lelaki itu. Dia sendiri ada harga diri. Izzat sendiri pun tidak kisah akan dirinya.
Nombor Anas didail lagi. Masih tiada jawapan. Hatinya kembali sebak. Besarnya dugaan ada kekasih terlalu matang ni…..



               


No comments:

Post a Comment