Tuesday 7 January 2014

BAB 6 - RAHASIA CINTA

Dayana masih mengemas-ngemas ruang biliknya. Akhirnya semester baru telah bermula maka bermulalah episod baru pengajiannya. Dia berharap prestasinya pada kali ini akan bertambah baik berbanding semester lepas.
                Ganbatte!
                Seperti kebiasaan, di awal-awal semester semangatnya akan berkobar-kobar dan selalunya semangat itu tidak akan kekal sepanjang semester. Dia harap semester kali ini akan menjadi luar biasa. Setelah pasti biliknya telah sempurna dikemaskan, Dayana berbaring lega sambil matanya memandang ke arah katil bakal rakan sebiliknya yang masih kosong. Siapalah agaknya bakal rakan sebiliknya, baikkah orangnya, cerewetkah, menyakitkan hatikah? Biar siapa pun orangnya, dia tetap berasa teruja.
                Berbeza dengan sahabat yang lain, Dayana tidak kalut untuk memilih rakan serumah mahupun sebilik. Ramai sahabatnya merayu untuk ditempatkan sekali dengan sahabat-sahabat yang mereka kenali sahaja. Sedangkan bagi Dayana, dia lebih senang berkenalan dengan rakan serumah yang baru. Lebih menyeronokkan.
                Tiba-tiba pintu bilik dikuak perlahan. Dayana agak terperanjat.
                “Assalamualaikum…” lembut suara memberi salam. Muncul seorang gadis bertudung labuh persis seorang ustazah.
                “Waalaikumussalam…” jawab Dayana dengan senyuman lebar. Wah, muslimah.
                Dayana berasa teruja. Inilah kali pertama dia dapat sebilik dengan seorang muslimah seperti ini. Dayana tidak henti-henti memerhatikan gadis itu berkemas.
                “Anta dah lama sampai?” ujar gadis itu memulakan bicara agaknya kurang senang dengan pandangan Dayana yang tidak henti-henti memerhatikannya.
                “Tak ada lah lama, baru jugak. Orang mana?” soalnya lancar. Dia meneka mungkin gadis itu merupakan orang Terengganu mahupun Kelantan. Kebanyakan gadis berimej muslimah yang dia kenali kebanyakannya datang dari dua buah negeri berkenaan.
                “Orang Johor…”
                Dayana menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Jelas sekali telahannya tidak tepat. Gadis itu masih tersenyum lembut melihatkan telatah Dayana yang tidak senang duduk.
                “Anta orang mana?” soal gadis itu pula.
                “Saya orang sini jugak, orang Perak. Satu daerah je dengan U kita ni,” jawab Dayana panjang lebar walaupun jawapan yang sepatutnya tidak perlu dijawab selengkap itu.
                “Rumah anta dekat jelah. Baguslah, senang nak balik kan?” ujar gadis itu semula yang semakin menunjukkan keramahan berbeza dengan sikapnya seawal perkenalan tadi.
                “Tau tak apa. Kita ni bercakap punya bercakap nama tak tau pun, siapa nama kamu? Umur?” soal Dayana apabila menyedari dia masih tidak tahu nama dan umur sahabat barunya.
                “Maizatul Akma, 24 tahun. Anta?” soalnya kembali.
                “Nordayana, 22 tahun. Panggil je Yana. Nak panggil apa ya?”
                “Oh, muda lagi. Panggil je kak Akma,” ujarnya. Dayana tersenyum riang. Sikap sahabat barunya ternyata sangat menyenangkannya.
                “Okay, kak Akma.”
                Kemudian Dayana hanya mendiamkan diri memerhatikan gelagat Akma yang sedang mengemas barang. Dia ingin membantu tetapi dihalang sekeras-kerasnya. Akhirnya dia beralah.

Dayana memeriksa beg tangannya mencari-cari telefonnya tetapi hampa. Ke mana perginya? Mungkin ke tercicir? Dayana sudah tidak sedap hati.
                “Cari apa?” soal Shahila, bekas roommate Dayana semasa di semester pertama. Dia rimas dengan perlakuan Dayana yang kelihatan kalut mencari-cari sesuatu dalam beg tangannya.
                “Phone Yana. Tak jumpa pulak. Tolong missed call kejap,” minta Dayana separuh merayu. Hatinya mula berdegup kencang. Shahila lantas mengeluarkan telefonnya lalu mendail nombor Dayana. Beberapa minit telah berlalu tidak kedengaran sebarang deringan pun.
                “Kamu tinggal kat rumah ni Yana. Kamu kan suka tertinggal phone kat rumah,” ujar Shahila yang sudah faham benar dengan sikap Dayana yang agak cuai menjaga barangnya. Dayana bermenung seketika memikirkan rasional kata-kata Shahila sambil cuba mengingatkan di mana kali terakhir dia menggunakan telefonnya.
                Dayana menepuk dahinya. Ya, memang dia tertinggalkan telefonnya di rumah.
                “Ha? Kenapa? Betulkan tertinggal kat rumah?” soal Shahila bertalu-talu. Dia pun ingin tahu andai telahannya betul. Dayana mengangguk tanpa kata segan dengan kelalaiannya sendiri. Shahila menggelengkan kepala.
                Berakhir sahaja kuliah yang terakhir, Dayana terus bergegas pulang ke rumah. Dia tidak dapat menafikan hatinya masih berasa tidak sedap selagi tidak dapat melihat telefonnya dengan mata kepalanya sendiri. Sesampai sahaja di rumah, Dayana pantas membuka lacinya. Huh! Lega!
                Telefon bimbitnya masih berada di situ.  Dayana lantas menilik skrin telefonnya andai terdapat sebarang mesej mahupun panggilan tidak dijawab. Niatnya untuk membaca mesej dan melihat gerangan yang menelefonnya terbatal serta-merta apabila matanya tertancap pada aplikasi jam di skrin telefonnya. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang sedangkan dia masih belum menunaikan solat Asar. Dia kemudiannya bergegas ke bilik air untuk mengambil air wuduk. Dia tidak mahu melengahkan lagi memandangkan masa sudah semakin suntuk. Jika dia melengahkan solatnya, alamatnya terlepas waktulah jawabnya. Selesai sahaja solat, Dayana terus mendapatkan telefon bimbitnya. Semua mesej dan panggilan masuk datang daripada nombor yang sama. Nombor yang tiada dalam senarai kenalannya tetapi cukup dikenalinya. Suatu masa dahulu, nombor itu telah dipadamkan dari senarai kenalannya dan berharap nombor itu tidak kekal dalam ingatannya tetapi sayang fikirannya tidak mengikut kata hatinya. Nombor itu tetap terpahat dalam ingatannya seperti mana ingatannya terhadap empunya nombor tersebut.
                Dengan tangan yang terketar-ketar Dayana membuka mesej pertama yang diterima.
Yana, Iz ada dekat tempat Yana ni, Iz nak jumpa Yana. Kejap pun jadilah. Kebetulan Iz keluar beli tiket hari ni. Esok Iz dah nak bertolak ke KL. Iz kerja kat sana.
                Dayana menekup mulut. Hatinya pun cukup meronta-ronta untuk bertemu dengan Izzat. Namun, hatinya juga dibelenggu oleh pelbagai persoalan. Apa mimpi Izzat untuk berjumpa dengannya? Rindu ke? Atau hanya ingin melampiaskan nafsunya? Dayana memejamkan mata rapat. Dia tidak dapat membuang prasangka negatifnya terhadap Izzat. Dia langsung tidak dapat meneka isi hati sebenar lelaki itu.
                Dayana terus beralih pada mesej yang kedua.
Yana? Kenapa Yana tak jawab?
                Dan akhirnya dia membuka mesej yang terakhir.
Yana? Hm…..
                Mesej yang terakhir jelas menggambarkan kekecewaan Izzat sama seperti hatinya yang turut kecewa. Kenapa baru hari ini dia mendapat mesej Izzat? Kenapa mesti pada waktu dia tertinggalkan telefonnya? Dayana menyembamkan wajahnya di bantal. Sebal.
                Setelah perasaannya sedikit tenang. Dia bangun semula. Tidak patut sebenarnya dia bersikap begitu. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Dayana beristighfar. Dia memeriksa telefonnya sekali lagi. Terdapat 15 panggilan tidak dijawab daripada Izzat. Argh, rindunya.
                Dayana merenung skrin telefonnya lama. Hatinya berbelah bahagi untuk menelefon Izzat semula. Nombor Izzat ditekan dan ibu jarinya sudah bersedia di butang dail. Mampukah dia merendahkan egonya untuk menghubungi Izzat? Hatinya masih berbelah bahagi.
                Akhirnya nombor Izzat didail. Bukan dia yang memulakan dulu, Izzat yang mencarinya terlebih dahulu. Dayana menunggu panggilannya diangkat dengan penuh debar.
                Izzat memandang skrin telefon bimbitnya. Panggilan daripada Dayana. Dadanya berombak kencang. Lama dia merenung skrin telefon bimbitnya. Akhirnya, panggilan itu diangkat.
                “Hello.” Kedengaran garau suara di hujung talian. Dayana berasa gembira tatkala mendengarkan suara Izzat yang sudah lama tidak didengarnya sambil menahan debaran yang semakin menggila.
                “Kenapa carik Yana?” dia dapat merasakan suaranya sendiri kedengaran janggal. Tangan kirinya melekap ke dada. Degupan jantungnya semakin tidak dapat dikawal.
                Izzat kecewa mendengarkan suara Dayana yang langsung tidak ceria. Adakah Dayana masih terasa hati? Bukankah gadis itu sudah ada pengganti?
                “Iz saja contact Yana. Kot Yana nak jumpa Iz. Tapi kalau tak boleh tak apalah,” tutur Izzat sebiasa yang mungkin. Dia perlu menutup perasaan terujanya sebelum ini untuk berjumpa dengan Dayana. Sebenarnya dia sangat merindukan gadis itu, rindu yang tidak dapat ditafsirkan dengan kata-kata.
                Dayana kecewa mendengarkan nada Izzat yang acuh tidak acuh sahaja. Nampaknya hanya dia sahaja begitu teruja untuk berjumpa dengan Izzat sedangkan lelaki itu biasa-biasa sahaja.
                “Oh, tak apalah. Yana pun tak kisah. Just tanya kot ada perkara yang penting. Kalau tak ada perkara yang penting. Tak jumpa pun tak apa. Yana kat sini sibuk……” ujar Dayana cuba mempertahankan egonya. Tidak sangka dia tertipu sekali lagi dengan Izzat. Sekali lagi lelaki itu cuba mempermainkan perasaannya. Dia menyangka lelaki itu merindukannya tetapi sayang lelaki itu hanya ingin membuai perasaannya tanpa tujuan. Air matanya sudah menanti di tubir mata.
                “Yana sibuk? Hm..Iz faham. Sorry kalau Iz ganggu Yana. Hm…” Izzat kelu. Hatinya hiba mendengarkan suara gadis itu yang tersangat dingin. Sedihnya tidak terkata. Dia merindukan Dayana yang riang melayannya. Kalau tidak kerana ego lelakinya, dia ingin merayu pada Dayana untuk berubah menjadi seperti dulu. Tetapi layakkah dia, bukankah dia yang menyebabkan gadis itu bersikap seperti itu.
                “Okay, kalau tak ada apa-apa, Yana letak dululah. Assalamualaikum,” ucap Dayana sebak. Lidahnya kelu. Tidak tahu apa yang perlu diucapkan lagi, yang pasti hatinya diselubungi kekecewaan.
                “Waalaikumussalam….” Izzat termangu. Talian dimatikan serta-merta sebaik sahaja dia membalas salam. Itu sahajakah perbualan mereka? Benci sangatkah Dayana terhadap dirinya sehingga tidak sudi untuk berbual lebih lama.
                Dayana berbaring sambil mengesat air matanya. Begitu mudah air matanya gugur untuk lelaki tak guna seperti Izzat.

‘Iz…sampai bila Iz nak permainkan perasaan Yana, sejauh mana lagi Iz nak uji Yana,’ desis hatinya yang pilu. Dayana juga sudah naik bosan dengan kedegilan hatinya yang begitu tega mengekalkan ruang untuk Izzat. Sampai bila dia harus mengenang lelaki itu. Sampai bila?


Bab sebelum ini:


2 comments: