Wednesday 2 October 2013

BAB 2 - RAHASIA CINTA

Tangan Dayana ligat meneroka laman sosial Facebooknya. Laman sosial itu telah menjadi kegilaannya semenjak dia di tingkatan enam lagi. Beberapa keping gambar yang telah ditandakan dengan namanya ditatap satu persatu.
                ‘Ish dia orang nih, gambar yang hodoh ni la nak tag-tag,’ rungut hatinya tidak puas hati.
                Tiba-tiba hatinya terdetik sesuatu. Kata-kata Adira masih terngiang-ngiang di telinganya. Pantas sahaja jarinya menaip sebaris nama di kotak pencarian.
Azura
                Hatinya berdebar tanpa diminta. Rasa ingin muntah pun ada. Terlalu berdebar. Lambat-lambat skrinnya bertukar kepada profil seorang gadis yang sebenarnya dia tidak kenali. Entah bila gadis itu menjadi rakan facebook miliknya. Dia hanya mengenali gadis itu sebagai kekasih Izzat. Sakit hatinya bila mengenangkan perkara itu. Jelas terpampang nama dan gambar Izzat Azmir pada status hubungan yang terletak di sebelah kiri profil. Hatinya seperti diramas-ramas rasanya tetapi air matanya tidak lagi murah seperti dulu. Mudah sahaja tumpah bila mengenangkan hakikat itu.
                Walaupun hatinya dilanda debar yang hebat, Dayana memberanikan diri membaca wall post yang ditinggalkan di dinding profil gadis tersebut. Matanya tertancap pada pesanan yang ditinggalkan oleh Izzat.
R.I.N.D.U
                Sayang, kata-kata keramat itu bukan lagi untuknya.
                Tanpa diminta, tangannya pantas sahaja menghalakan tetikus pada nama Izzat Azmir. Dengan sekali klik, profil berubah kepada profil lelaki itu. Malangnya, profil itu diprivasikan. Hanya rakan-rakan facebook Izzat yang boleh melihat maklumat yang terdapat di dalamnya termasuklah gambar. Dayana mengeluh. Dapat tengok gambar profil pun jadilah. Bukan salah sesiapa, dia sendiri yang membuang lelaki itu dari senarai rakan facebooknya.
                Jauh di sudut hati betapa dia sangat rindukan lelaki itu. Walau bagaimanapun, dia redha dengan perpisahan ini kerana terselit hikmah yang sangat besar nilainya. Terlalu banyak khilaf yang berlaku sekiranya dia masih bersama lelaki itu. Mereka sewenang-wenangnya lupa akan batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama. Hatinya dicuit rasa syukur.
                Tuhan itu maha pemurah. Sedang dia dirundung kepiluan, tuhan telah menemukannya dengan jejaka yang sedikit sebanyak mampu mengubati hatinya. Cuma hatinya sedikit gusar dengan perasaan dia yang sebenar pada lelaki itu. Benar-benar sayang ataupun hanya berpura-pura sayang. Tanpa membuang masa, jarinya menaip nama yang baru di kotak pencarian.
Anas Hakimi
               
Terbentuk senyuman halus dibibirnya. Album gambar di buka satu persatu. Buah hatinya yang ini cukup suka meletakkan gambarnya pada zaman kanak-kanak berbanding gambarnya yang terkini. Dayana tidak dapat menafikan terselit rasa rindu dihatinya untuk lelaki itu tetapi tidak sehebat rindunya terhadap Izzat. Mungkin disebabkan dia hanya pernah bertemu dengan lelaki itu sekali sahaja selama mereka berkenalan dan pertemuan itu merupakan titik permulaan perkenalan mereka. Kemudian hubungan itu terbiar sepi hinggalah untuk beberapa tahun tanpa khabar berita.
                Tanpa dijangka, Anas muncul semula untuk meraih cintanya. Disaat dia kecewa dengan pemergian Izzat. Namun, kehadiran Anas langsung tidak dapat memadamkan perasaannya terhadap Izzat.
                Entah mengapa dia tidak dapat menghapuskan harapannya untuk bersama dengan Izzat sepenuhnya. Hati kecilnya masih mengharapkan Izzat menjadi teman hidupnya memandangkan takdir itu tuhan yang menentukannya bukan manusia. Kegagalan hatinya membuang perasaannya terhadap Izzat menimbulkan perasaan bersalahnya terhadap Anas.
                Dia perlu belajar menyayangi Anas kerana lelaki itu sangat tulus menyayanginya. Anas berhak untuk dicintai. Lelaki itu rela menerima dirinya yang serba kekurangan kerana bagi lelaki itu, perkara yang berlalu biarkan berlalu, apa yang penting ialah masa depan. Dalam diam, Dayana menyimpan azam untuk membahagiakan lelaki itu.
                Mungkin disebabkan pengalaman yang lepaslah, Anas tidak lagi menaruh harapan yang menggunung terhadap insan yang bergelar perempuan. Dia selalu menyatakan, jodoh itu di tangan tuhan. Sayangilah dirinya kerana ALLAH S.W.T. Mendengarkan itu sahaja cukup membuatkan hati Dayana berasa sangat terharu. Memang Anas tidak setampan Izzat tetapi sikap lelaki itu cukup membuatkan dirinya berasa di awang-awangan.
                Dayana menutup laptop kesayangannya. Jauh dia mengelamun. Wajah Izzat menjelma lagi. Dia semakin tidak faham dengan hatinya. kenapa lelaki itu? Kenapa? Dayana sebenarnya sudah penat melayan perasaannya yang tidak kesampaian itu. Lantas dia menyembamkan mukanya ke bantal. Mengharapkan tindakannya itu dapat melenyapkan bayangan lelaki itu serta-merta namun hampa.

***

Dayana mencari-cari kelibat kereta seperti yang diberitahu. Sesekali, dia mengibas-ngibas tudung sekolahnya. Cuaca terik memeritkan kulit mukanya. Dayana sudah hilang sabar. Telefon yang digenggamnya sedari tadi ditekan pantas. Mencari-cari nombor telefon insan yang ditunggu. Belum pun sempat Dayana menekan butang panggil, telefonnya bergetar menandakan panggilan masuk. Butang jawab ditekan tanpa berfikir panjang.
                “Hello…” Suara Diyana langsung tidak menunjukkan kelembutan.
                “Hello Yana, Yana ada kat mana?”
                “Yana kat mana? Yana dah lama tercegat kat sini tunggu Iz tau, janji pukul berapa, sekarang pukul berapa?” Soal Dayana bertalu-talu. Marah sungguh gayanya. Izzat terkelu mendengarkan suara Dayana yang tiada kemesraan seperti selalu.
                “Maaflah Yana, last minute tadi Iz ada kerja sikit, Yana ada kat mana ni? Iz tak nampak, Iz ada kat lot parking nih,” ucap Izzat dengan nada memujuk.
                “Lot parking kat mana?” soal Dayana dengan suara yang mula mengendur. Izzat lega apabila Dayana sudah beransur tenang.
                “Dekat depan cyber café yang baru bukak ni…” terang Izzat. Dayana mengangguk-angguk sambil matanya melilau-lilau mencari tempat yang dimaksudkan oleh Izzat.
                “Yana pergi sana,” ucap Dayana pendek lalu mematikan talian.
 Langkahnya pantas menuju tempat parkir yang diberitahu oleh Izzat. Dari kejauhan dia boleh mengecam kereta milik Izzat yang terparkir di hadapan Cyber Café. Net. Pintu kereta Viva berwarna violet itu dibuka lembut. Kelihatan Izzat memandangnya dengan penuh mesra. Dayana terpaku seketika memandang wajah Izzat yang tersenyum manis memandangnya. Dayana tidak teragak-agak membalas senyuman lelaki itu walaupun sebentar tadi dia cukup bengang atas kelewatan lelaki itu.
Dayana pantas melabuhkan punggungnya di sebelah tempat duduk pemandu. Segar rasanya apabila terasa hembusan pendingin hawa. Dayana memejamkan matanya. Tidur pun sedap ni. Izzat sekadar memandang tingkah Dayana yang terus berdiam diri melayan penatnya. Dia hanya membiarkan Dayana berehat sambil mula memandu keretanya meninggalkan tempat tersebut.
                Kereta mereka betul-betul berhenti di hadapan rumah sewa Izzat yang terletak agak tersorok. Suasana sekeliling sunyi sepi. Hati Dayana berdebar kencang. Izzat memandangnya. Dayana menelan liur.
                “Iz tak ada kunci nak masuk rumahlah, kunci kat kawan Iz, sepatutnya dia dah sampai…” keluh Izzat sambil merenung jam di tangannya. Dayana hanya memerhatikan gelagat Izzat sambil tangannya meraba-raba untuk membuka tali pinggang keledarnya. Secara tidak sengaja tangan Dayana tersentuh tangan Izzat yang kebetulan ingin menarik brek tangannya. Cepat-cepat gadis itu menarik tangannya. Wajahnya disembunyikan. Perasaan aneh menerpa.
                Izzat memerhatikan gelagat Dayana. Jantungnya juga berdegup kencang. Tangan gadis itu ditarik dan digenggamnya tanpa segan silu. Dia tahu apa yang dilakukannya salah sama sekali. Dia tiada hak untuk menyentuh gadis itu tetapi dia tidak dapat mengawal hatinya. Dayana hanya memandang.
                “Yana…”
Dayana memandang wajah Izzat yang merenungnya tajam. Debaran di dadanya bertambah kencang. Tanpa berfikir rasional, kucupan halus singgah ke pipi gadis itu. Dayana hanya merelakan malah matanya dipejam rapat. Dia dapat rasakan bibir Izzat berpindah ke bibirnya. Keadaan itu berlarutan sehinggalah kereta mereka dihon dari belakang. Izzat dan Dayana segera menghentikan perbuatan mereka.
                Kelihatan sebuah kereta Honda hitam berhenti di belakang kereta mereka. Dayana mula gelabah.
                “Iz, siapa tu Iz?” Tanya Dayana dalam suara getarnya.
                “Em…kawan Iz…..” Izzat sedikit geram kerana keinginannya seolah-olah terbantut. Matanya masih tidak berhenti memandang Dayana yang mula kalut.
                “Rilek la Yana, kawan Iz tu pun nak ambik barang dia kat rumah sewa ni, tinggal dia dengan Iz je tak ambik barang lagi…” terang Izzat untuk mengurangkan kegusaran di hati Dayana. Pipi Dayana dicubit lembut. Akhirnya Dayana tersenyum memandang Izzat.
                “Dialah yang pegang kunci rumah…” sambungnya lagi.
                Kelihatan seorang lelaki tinggi lampai dan berkulit cerah melangkah keluar daripada perut kereta dengan senyuman yang melebar hingga ke telinga. Izzat segera keluar daripada kereta.
                “Lambat gila kau datang,” sapa Izzat setelah berjabat tangan dengan sahabatnya. Sapaan Izzat dibalas dengan senyuman penuh makna.
                “Saja nak bagi kau peluang melepaskan rindu, hehe,” ujar Aslan penuh makna. Keningnya dinaikkan sambil matanya menyorot ke arah Dayana. Dayana cepat-cepat memalingkan mukanya. Berkira-kira andainya sahabat Izzat nampak perlakuan mereka.
                “Siapa tu?” Soal Aslan pantas sambil matanya tidak lepas merenung gadis yang bersama sahabatnya itu. Sahabatnya Izzat bukan seorang lelaki yang mudah rapat dengan mana-mana perempuan. Berbeza dengan dirinya yang cukup sinonim dengan panggilan player. Mesti gadis yang dibawa oleh Izzat itu sangat istimewa bagi sahabatnya.
                “Kawan baik aku..” jawab Izzat telus. Dayana tersentak. Ya, mereka memang kawan baik. Sepatutnya dia tidak perlu berasa terkejut seperti itu.
                “Kawan baik ke awek……..”
Serkap Aslan dengan senyuman sinis.
                “Kau tak caya? Tanya dia sendiri.”
                “Aku tanya ni….” Ugut Aslan sambil menghampiri pintu bahagian pemandu yang masih terbuka. Jantung Dayana berdegup laju dengan kerenah yang ditunjukkan oleh Aslan. Dia langsung tidak menyangka Aslan terlalu beria untuk mengetahui perkara duduk yang sebenar.
                “Tanyalah…” ucap Izzat endah tidak endah malas untuk melayan keletah sahabatnya yang memang hyperactive itu.
                Serta-merta Aslan menjengulkan kepalanya ke dalam kereta dan memandang tepat wajah Dayana. Matanya membulat.
                “Pergh, comel…”
                Dayana pantas memalingkan wajahnya. Wajahnya berasa panas dipuji begitu.
                “Kau awek Iz kan…..” soal Aslan yang langsung tidak berbentuk soalan.
                “Bukanlah, kita orang kawan baik je,” jawab Dayana tanpa melihat wajah lelaki itu. Aslan menunjukkan muka tidak puas hati dengan jawapan gadis itu. Masih tepat memandang Dayana. Dayana pula hanya mampu melarikan wajahnya.
                Timbul perasaan sebak di hati Dayana. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia perlu rasa sebak. Kehadiran Izzat dalam hidupnya sekadar untuk dijadikan teman untuk menghilangkan rasa sunyinya. Dia pada asalnya langsung tidak mempunyai perasaan untuk menjadikan Izzat lebih dari seorang kawan.
                Begitu juga Izzat. Mereka hanya berkawan. Hanya kawan. Hanya baru-baru ini perasaannya seolah-olah terumbang ambing. Keliru dengan kehendak hatinya. Lebih-lebih lagi, sikap Izzat yang mula melayannya melebihi layanan yang patut diterima oleh seorang kawan. Mesej-mesej Izzat mula dipenuhi dengan ayat-ayat yang romantis. Betapa setiap hari lelaki itu menyampaikan rasa rindunya melalui SMS dan panggilan.
                Hatinya mula tertanya-tanya andainya lelaki itu mempunyai perasaan terhadapnya. Jika ya, apa yang patut dia lakukan sedangkan hatinya sudah berjanji hanya akan menjadikan lelaki itu sebagai kawan seumur hidupnya. Best Friends Forever.
                Dayana mengelamun sambil menanti Izzat selesai mengangkut barang-barang miliknya ke dalam kereta. Kalau diikutkan hati, Dayana ingin membantu Izzat mengangkut barang tetapi hasratnya terbantut kerana Aslan tidak berhenti-henti mengusiknya.
               
               

               

                

1 comment: