Sunday 29 September 2013

BAB 1 - RAHASIA CINTA

“Dayana!”
Laungan ibunya mematikan lamunan Dayana. Dia menggeliat malas di atas katilnya. Itulah rutinnya setiap kali cuti semester. Melayan rasa malasnya. Lambat-lambat langkahnya diatur menuju ke arah ibunya.
“Kenapa mak?” longlai suaranya.
“Ha! Pandai pun bangun, beribu kali mak panggil baru sekarang kamu dengar ye Dayana? Berbuih mulut mak..”
                Dayana hanya mampu menunduk sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Memang salah sendiri pun. Lambat sangat bangun. Terpaksalah dia menahan leteran ibunya yang berjela-jela.
                “Orang pagi-pagi macam ni, bangun awal buat kerja rumah, bukan membuta je kerjanya, kamu tu perempuan Dayana oi…”
                Dayana hanya terus membisu, sudah biasa dengan leteran ibunya. Lebih baik diam dari menjawab. Nanti makin menjadi-jadi pula leternya.
                “Ha, apa yang tercegat lagi tu, pergi ambil penyapu, sapu rumah…”
                Terkulat-kulat Dayana mencari penyapu yang entah di mana letaknya.
                “Mak, penyapunya mana?” Soal Dayana yang mula bosan mencari.
                “Itulah, jarang sangat menyapu, tu belakang pintu tu, kamu cari pakai apa Yana?”
                “Ye mak, ye mak,” ujar Dayana berlari-lari anak menuju ke belakang pintu. Tidak sanggup lagi mendengar sambungan leteran ibunya. Gadis itu terus mencapai penyapu dan memulakan tugasnya.
Tidak lama kemudian, bunyi deruan motosikal mengganggu tumpuannya. Panjang lehernya menjenguk ke luar rumah. Kelihatan kelibat sahabat karibnya, Adira, tersengih-sengih bagaikan kerang busuk.
                “Assalamualaikum….”
                “Waalaikumussalam…” Salam Adira dibalas oleh ibunya. “Nak jumpa Dayana ke?”
                “A’ah makcik, dia ada ke?”
                ‘Adalah makcik Dira oi…ke mana pulak aku pagi-pagi buta ni kalau bukan dekat rumah’, rungut Dayana di dalam hatinya seolah-olah menjawab pertanyaan Adira.
                “Dia ada kat dalam tu, masuklah Dira,” pelawa Cik Ros ramah. Kehadiran sahabat baik anaknya itu bukanlah asing lagi baginya. Memang gadis itu cukup gemar bertandang ke rumahnya dan dia sentiasa mengalu-alukan kehadiran gadis itu.
                “Terima kasih makcik.” Semakin lebar senyuman Adira. Laju sahaja langkahnya menapak masuk ke dalam rumah. “Hoi! Menyapu ke?” tegur Adira sebaik sahaja ternampak kelibat sahabatnya.
                “Takdelah Dira, aku tengah berjoget ni…” jawab Dayana selamba. Adira hanya tersengih.
 “Kau apsal pepagi datang rumah aku ni?”
                “Kau free tak esok?” Tanpa menjawab soalan sahabatnya Adira terus mengajukan soalan.”Aku ingat nak ajak kau teman aku shopping kat Ipoh esok.”
 “Aku okey je,” jawab Dayana terus setuju dengan pelawaan rakannya. Adira lantas bertepuk gembira dengan persetujuan itu.
“Mak!” Jerit Dayana memanggil ibunya yang kebetulan lalu melintasi mereka. Cik Ros yang terperanjat dengan panggilan anaknya berhenti mengejut.
“Ya Allah, terkejut mak… Kamu ni kenapa terjerit-jerit? Mak bukan sebatu pun jauhnya.” Tersengih-sengih Dayana membalas teguran ibunya diikuti oleh Adira yang turut tersengih. Entah sejauh mana sebatu yang dimaksudkan ibunya.
“Ni ha, Dira ajak Yana keluar esok, teman dia shopping kat Ipoh.”
Cik Ros memandang wajah kedua-dua orang gadis di hadapannya silih berganti.
“Kau orang ni, kalau bab berjalan tak payah disuruh, laju je, yang susah disuruh buat kerja,” perli Cik Ros tanpa berlapik. Dayana menelan liur. Setepek terkena ke mukanya. “Pukul berapa nak perginya? Naik apa?”
“Macam biasalah makcik, naik kereta ayah, Dira yang drive, keluar pagi-pagi kot, lewat sangat nanti takut lewat juga baliknya,” tutur Adira lancar. Dayana mengangguk-angguk mengiyakan kata-kata sahabatnya.
“Makcik tak kisah nak keluar tu, masing-masing dah besar, dah 20-an dah pun, yang penting hati-hati, jaga diri,” jawab Cik Ros terus memberi keizinan.
“Terima kasih, mak”

Dayana merenung sahabatnya memilih kasut. Dia mengurut-urut kakinya yang lenguh. Adira seorang yang sangat cerewet tiap kali memilih barang. Berbeza dengan dirinya yang lebih simple dan tidak terlalu memilih. Ini merupakan kedai kasut yang kelima yang dilawati oleh mereka berdua tetapi Adira masih tidak menemukan kasut yang diinginkannya.
                Bosan menunggu. Sesekali, Dayana mencuba beberapa pasang kasut yang kelihatan menarik dimatanya. ‘Cantik’ desis hatinya apabila kasut yang dicuba sesuai dengan bentuk kakinya. Selesai mencuba barulah matanya melirik pada harga yang tertera pada kasut. ‘Mak aih, mahal.’
                “Yana!”
                Dayana menoleh sebaik sahaja namanya dipanggil.
                “Tengok kasut ni, cantik tak?” Soal Adira sambil menggayakan kasut pilihannya.
                “Cantik….” Jawab Dayana acuh tidak acuh. Berkerut dahi Adira mendengar jawapan sahabatnya.
                “Kau ni, betul-betul cantik ke tak ni?” soalnya lagi dengan penuh curiga.
                “Cantiklah, serious… memang cantik.” Jawab Dayana lagi dengan menunjukkan mimik muka penuh kesungguhan supaya kawannya tidak akan bertanya lagi.
                “Kalau macam tu, aku belilah….”
Dayana mengangguk laju. Tidak lalu lagi dia menunggu lama. Keputusan rakannya itu sangat menggembirakannya persis mendengar pengisytiharan Hari Raya Aidilfitri rasanya.

Dayana menghirup Milo aisnya rakus.
                “Amboi, berapa bulan kau tak minum air ni?” Tegur Adira tanpa selindung. Dayana langsung tidak mengendahkan teguran sahabatnya terus menyuap sizzling telur kegemarannya. Tergelak kecil Adira melihat gelagat rakannya yang memang pantang jumpa makanan. Lagipun dia faham Dayana sebenarnya agak tidak meminati sikapnya yang sangat cerewet bila memilih barang. Mesti gadis itu sedang melayan keletihan kerana berjam-jam menunggunya memilih. Tetapi Dayana sendiri tidak pernah menolak jika dia meminta untuk menemannya membeli-belah.
                “Huh, gila tak penat, gila lama kau pilih barang kan, naik lumpuh aku tunggu kau,” rungut Dayana melampiaskan perasaannya. Adira hanya tergelak kecil menayangkan barisan giginya. Kemudian, Dayana turut tersenyum. Dia sendiri pun sebenarnya langsung tidak mengambil hati kerana terpaksa menunggu lama tetapi dia memang tidak dapat menipu yang dia sangat penat bercampur lapar.
                “Lama gila kita tak keluar sama-sama macam ni kan?” Ucap Adira tiba-tiba. Dayana mengangkat keningnya.
                “Tau tak apa, kau tu belajar jauh sangat, eh, apa cite Yura?” Dengan tidak semena-mena Dayana terkenangkan lagi seorang sahabat mereka yang sedang melanjutkan pelajarannya di UITM Pulau Pinang dalam bidang perhotelan. Kebetulan pula Adira sempat melawat sahabat mereka itu sebelum pulang ke kampung halaman.
                “Dia? Macam biasa la Yana, macam kau tak tahu…..” jawab Adira selamba.
                “Siapa pakwe dia sekarang?” Laju sahaja mulutnya bertanya. Itulah soalan wajib setiap kali mereka bercerita berkenaan sahabat mereka itu.
                “Entahlah, dia kata single tapi aku tengok bukan main dia berbalas mesej…”
                Lantas sahaja Dayana terbayangkan sahabat mereka yang tinggi lampai dan memiliki kulit hitam manis itu. Cantik dan pandai bergaya. Mulutnya yang becok sering membuatkan mereka tidak kering gusi. Kadang kala mulutnya agak lancang berbicara tanpa mengambil kira hati orang sekelilingnya. Tapi, mereka sangat senang bersahabat dengannya kerana sekepala. Sama-sama gila tetapi sahabat mereka itu mempunyai masalah yang sering merunsingkan mereka berdua, tidak lain tidak bukan masalah lelaki.
                “Dia tu cakap je tak ada tapi sebenarnya keliling pinggang, aku risau tengok perangai player dia tu, ngeri tau kalau lelaki yang dia mainkan tu tiba-tiba nak balas dendam,” ujar Dayana sambil menjongketkan bahunya. Adira mengeluh.
                “Tapi…”
                “Tapi apa?” Pantas sahaja Dayana memintas. Dia bagai dapat merasakan kata-kata seterusnya bersangkut paut dengan dirinya.
                “Kita orang ada sembang pasal kau jugak,” ucap Adira lambat-lambat. Dia sendiri serba salah untuk menceritakan hal itu kepada Dayana atau tidak. Dayana pula langsung menghentikan suapannya. Dadanya berdegup kencang tiba-tiba. Bagai dapat meneka perkara yang bakal dituturkan tetapi fikiran warasnya segera menepis. Dia merenung Adira menanti kata-kata seterusnya.
                “Kau masih contact Iz?”
                Dayana tergamam. Selera makannya mati serta-merta. Mengapa nama itu yang disebut setelah sekian lama dia cuba melupakan nama itu.
                “Tak….” Ujarnya sambil menguis-nguis mi di pinggannya. Dayana sedaya mungkin mengawal getar suaranya. Dia menunduk menahan pilu yang tiba-tiba menerpa di hati.
                “Tak payahlah, aku dah janji nak rahsiakan hal ni,” putus Adira melihatkan sahabatnya berubah tingkah. Nampak sangat Dayana masih tidak dapat melupakan Izzat. Satu-satunya lelaki yang berjaya mencuri hati sahabatnya itu sepenuhnya.
                “Aku tak kira, dah alang-alang kau terlepas cakap, baik kau bagitau jugak,” desak Dayana. Betapa dia ingin tahu perkara yang disembunyikan oleh Adira. Lebih-lebih lagi perkara itu berkaitan dengan lelaki yang bertakhta di hatinya hingga kini.
                “Tak ada apa pun sebenarnya, Yura cerita kat aku yang dia chatting dengan Iz hari tu, Iz bagitau Yura yang dia masih sayangkan kau lagi.”
                Dayana tersentak mendengarkan bait-bait kata gadis di hadapannya. Dadanya berasa sebu tetapi masih cuba berlagak biasa. pelbagai persoalan mula bermain di fikirannya. Benarkah apa yang disampaikan oleh sahabatnya itu?
                “Then Yura tanyalah, kalau kau sayangkan dia lagi, kenapa kau tinggalkan dia, lelaki tu cakap dia tak sanggup nak lukakan hati kau lagi…..”
                “Oh…tu je..” pendek respon Dayana cuba berlagak biasa. Menyembunyikan gelisah hatinya yang semakin menggila. Segala kenangannya bersama Izzat mula berputar silih berganti. Jika mereka bukan di tempat awam, sudah pasti air matanya tidak segan silu merembes keluar.

                Benarkah lelaki itu masih sayangkannya. Sayang yang bagaimana yang dimaksudkan. Kalau diikutkan hati, banyak lagi perkara yang ingin ditanyakan kepada sahabat di hadapannya itu tetapi mulutnya tidak rela untuk terus bertanya. Itu semua hanya kenangan lalu. Kenangan lalu yang bukan sahaja perlu tetapi wajib untuk dilupakan tetapi tegakah hatinya? Persoalan itu hanya tergantung tanpa jawapan.

2 comments: